PENDIDIKAN ANAK-ANAK MELALUI KISAH NABI ADAM

 


Oleh Syafiq Zulakifli

Al-Quran membentangkan kepada kita seribu satu cerita yang tentunya sebagai petunjuk dan pedoman untuk dipelajari dan dihayati. Al-Quran yang menjadi syifa untuk merawat jiwa juga merupakan satu tarbiah kepada manusia dalam menjawab segala permasalahan duniawi pada hari ini.

Di dalam al-Quran sendiri, sebanyak tujuh surah membicarakan hal tentang kisah Nabi Adam. Masihkah kita mengingati tentang babak Iblis yang tidak mahu sujud kepada manusia?

Firman Allah yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah al-Baqarah ayat 34)

Penjelasan pertama yang harus difahami adalah pendidikan melalui keimanan kepada perkara-perkara ghaibiyyat.  Lihatlah mengapa Allah datangkan malaikat dan iblis dalam kisah Nabi Adam? 

Pernahkah kita sendiri memberitahu anak-anak tentang asal usul kejadian mereka? Hakikat kejadian Nabi Adam yang dijadikan daripada tanah liat, kemudian ditiupkan roh kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud, “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir.” (Surah Saad ayat 71 hingga 74)

Selain daripada itu, anak-anak perlu diajar tentang mengapa manusia pertama itu Nabi. Jawapan bagi soalan-soalan itu tentulah satu sahaja jawapannya iaitu betapa Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Ilmu Tauhid menjadi asas kepada pendidikan anak-anak. Oleh hal demikianlah, ibu bapa yang perlu mendidik anak sejak dari kecil tentang perlunya mereka mengenali Allah SWT lebih daripada segalanya kerana Allah SWT juga yang memberikan akal kepada manusia untuk berfikir tentang sesuatu.

Pendidikan kedua yang menjadi sandaran melalui kisah Nabi Adam ini adalah keimanan kepada malaikat. Hakikatnya Allah memasukkan kisah malaikat untuk menunjukkan kepada kita tentang bagaimana malaikat yang sentiasa taat itu menjelaskan elok kelakukannya.

Malaikat adalah makhluk yang bukan sekadar baik dan sifar dosa, tetapi mereka juga sangat sensitif. Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 30)

Lihatlah betapa malaikat berani bertanya sekiranya mereka tidak tenang. Malaikat memohon penjelasan daripada Allah SWT untuk mengetahui tentang kelemahannya. Justeru, anak-anak juga perlu diajar untuk seringkali bertanya sekiranya mereka tidak memahami dan mengetahui apa-apa tentang sesuatu perkara itu.

Hal seterusnya yang perlu difahami adalah tentang keimanan kepada qada dan qadar melalui kisah Nabi Adam. Bagaimana pula cara kita memandang sesuatu musibah yang berlaku. Kisah Nabi Adam mendidik jiwa agar tidak meletakkan setiap kesalahan kepada Allah SWT.

Jika diperhatikan, dapat kita faham bahawa Nabi Adam mempunyai kesilapan iaitu memakan buah khuldi (larangan dalam syurga), kemudian Iblis pun mempunyai kesilapan kerana enggan sujud kepada Nabi Adam. Mereka diperintahkan untuk turun ke dunia.

Tetapi, bagaimana Iblis menerima takdir dan musibah tersebut? Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud, “Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.” (Surah Al-A’araf ayat 16)

Iblis telah bertindak untuk menerima takdir tanpa memandang dengan cara yang betul dan akhirnya menyesatkan manusia sedangkan Nabi Adam yang termakan buah khuldi dan dicampakkan Allah ke muka bumi, menerima takdir sebagai penyebab untuk baginda mentaati perintah Allah SWT.

Begitulah hakikat cerita-cerita dan kisah Nabi Adam yang perlu diambil pengajaran untuk mendidik anak-anak pada hari ini. Pendidikan yang betul akan menghasilkan natijah yang betul dan tepat, tetapi sebaliknya jika cara memandang sesuatu perkara itu dalam keadaan negatif, maka hal tersebut akan memberikan keputusan yang mendukacitakan. Justeru, manusia itu perlulah berperwatakan seperti malaikat dan menjauhkan diri daripada berperwatakan iblis.

Comments